Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara

INFO

Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
Kitar Semula
Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca

Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam

“Sisa Pepejal” ditafsirkan sebagai :-
Definisi sisa pepejal apa-apa bahan sekerap atau benda lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak yang timbul daripada penggunaan apa-apa proses;
Definisi sisa pepejal apa-apa benda yang dikehendaki dilupuskan kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau selainnya rosak; atau
Definisi sisa pepejal apa-apa bahan lain yang mengikut Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain dikehendaki oleh pihak berkuasa supaya dilupuskan, tetapi tidaklah termasuk buangan terjadual sebagaimana yang diperihalkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127], kumbahan sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] atau sisa radioaktif sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304]
Untuk maklumat lanjut, klik Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007)

“Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal” ertinya proses :

✦ Pengasingan
✦ Penstoran
✦ Pemungutan
✦ Pengangkutan
✦ Pemindahan
✦ Pemprosesan
✦ Pengitaran semula
✦ Pengolahan
✦ Pelupusan sisa pepejal terkawal

Penswastaan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Di Malaysia 
Agensi Penguatkuasa
● Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
Senarai Syarikat-syarikat Konsensi
Alam Flora Sdn. Bhd.
WP K.Lumpur, WP Putrajaya, Pahang

Environment Idaman Sdn Bhd
Kedah, Perlis

Kitar Semula

♻️ Reduce (Kurangkan)
Ia merujuk kepada pengurangan kuantiti sisa yang dijana di punca, dengan mengurangkan jumlah produk dan jenis produk yang digunakan. Ia juga merujuk kepada pengurangan penggunaan sumber semula jadi. Ini bermakna kita perlu memberi perhatian kepada barang-barang yang dibeli, dihasilkan dan dibuang.
♻️ Reuse (Guna Semula)
Ia merujuk kepada penggunaan semula barangan berulang kali, dan dengan berbuat demikian penjanaan sisa dan pembuagannya dapat dikurangkan.
♻️ Recycle (Kitar Semula)
“Re” merujuk kepada “untuk melakukan sekali lagi” dan “cycle” merujuk “pusingan”. Oleh yang demikian, “Kitar Semula” merujuk kepada meletakkan sesuatu dalam kitaran. Kita mengitar semula dengan mengasingkan sisa, dan kemudian menyalurkannya kepada organisasi atau kilang-kilang yang memprosesnya semula supaya menjadi produk baru untuk kegunaan kita. Simbol antarabangsa untuk kitar semula adalah Mobius Loop, sebuah bulatan khas yang mencadangkan satu kitaran yang berterusan
Menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran.

 

Mengapa Kita Perlu Kitar Semula
♻️ Kitar semula akan mengubah sisa menjadi sumber-sumber yang bernilai. Ia juga boleh mengurangkan penggunaan bahan-bahan semulajadi, menjana sumber kewangan dan memberi faedah sosial.

 

Hari Kitar Semula Kebangsaan
♻️ Kerajaan telah menetapkan bahawa 11 November pada setiap tahun sebagai Hari Kitar Semula Kebangsaan.

Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca

Pihak kerajaan akan mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah mulai 1 September 2015. Pelaksanaan perkara ini berdasarkan Peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Secara umumnya, pengasingan sisa pepejal di rumah ini adalah mengikut jenis komposisi sisa pepejal seperti berikut :
a. Kertas – surat khabar , majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas computer, kertas A4, kertas berwarna, resit, bil , kotak kertas, kadbod, kalender, sampul surat, poskad, risalah, dan bungkusan pos.
b. Plastik – botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas makanan, bekas sabun cecair mandian, botl syampu, botol makanan kesihatan/vitamin, bekas pencuci pakaian/lantai, botol kicap, baldi, ,beg plastik, bekas ais krim dan lain – lain jenis plastik,
c. Lain – lain bahan yang boleh dikitar semula iaitu :-
i. Kaca/Seramik – botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman ringan, botol vitamin, bekas kosmetik, pinggan kaca dan sebagainya.
ii. Tin aluminium/besi/logam lain – tin minuman ringan, tin makanan dan sos, tin biskut, tin makanan cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk senduk dan sebagainya.
iii. Sisa elektrik/barang elektrik kecil – bateri, kalkulator, telefon bimbit, peralatan elektrik, lampu kalimantang, lampu LED,cerek elektrik, dapur elektrik dan sebagainya.
iv. Bahan fabrik/kasut/getah/kulit – kasut, beg tangan, pakaian, sarung tangan dan sebagainya.
v. Sisa berbahaya – bekas penyembur ubat nyamuk,tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut, bekas ubat anai – anai dan sebagainya.
d. Sisa Kebun/Taman – sisa halaman rumah seperti daun kering, ranting,pelepah pokok, batang pokok, rumput dan sebagainya.
e. Sisa Pukal – sisa peralatan rumah yang besar seperti peti sejuk, almari, katil, mesin basuh, sofa, perabot dan sebagainya.
Bagi komposisi sisa pepejal yang telah diasingkan di atas hendaklah dimasukkan dalam bekas yang sesuai/plastik sampah dan diletakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan yang ditetapkan di sesuatu kawasan. Manakala bagi Sisa Pukal hendaklah diletakkan dengan kemas di bahu jalan hadapan rumah pada hari kutipan. Kutipan sisa pepejal berkenaan akan dibuat satu (1) kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik.
Di samping itu, bagi Sisa Baki pula, sisa berkenaan perlu dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai/plastik sampah dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Sisa Baki ini merangkumi sisa makanan, lampin pakai buang, tisu, sisa –sisa lain yang kotor dan tercemar.Kutipan bagi Sisa Baki ini akan dibuat kutipan dua (2) kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik.
Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di rumah ini akan melibatkan negeri-negeri yang menerimapakai Akta 672 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.
Bagi memastikan maklumat dan informasi berkaitan pengasingan sisa pepejal isi rumah disebarkan secara meluas dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah merangka Pelan Tindakan Kesedaran Awam Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca 2015 yang bertujuan untuk mendidik dan membudayakan amalan pengasingan sisa pepejal di kalangan masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar. Pelan ini juga mengariskan 3 strategi dan beberapa tindakan yang dijangka mampu untuk merealisasikan aspirasi di atas iaitu :-
a. Meningkatkan penyebaran maklumat dan promosi tentang pengasingan sisa di punca melalui pelbagai medium:-
– Promosi melalui pelbagai saluran TV;
– Promosi melalui pelbagai saluran radio;
– Hebahan melalui artikel yang diterbitkan melalui akhbar harian;
– Hebahan melalui media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan blog;
– Edaran panduan pengasingan sisa di rumah dalam bentuk brosur kepada setiap premis;
– Penyediaan risalah, poster dan sebagainya.
b. Mewujudkan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak iaitu :-
– Kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan pembinaan kurikulum dan ko-kurikulum berkaitan pengasingan sisa di punca dan amalan 3R di peringkat prasekolah/tadika, sekolah rendah, menengah dan IPT;
– Kolaborasi dengan komuniti setempat seperti JKKK, Persatuan Penduduk dan Jawatankuasa Rukun Tetangga melalui program 3R;
– Kolaborasi dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui program pendidikan dan kesedaran awam serta dan program 3R;
c. Mewujudkan pengiktirafan berkaitan Amalan Pengasingan Sisa Pepejal
– Mengadakan pengiktirafan kepada pihak yang mengamalkan pengasingan sisa pepejal terbaik bagi kategori suri rumah, komuniti dan agensi kerajaan.
Pelaksanaan Peraturan ini adalah sebahagian usaha Kerajaan untuk meningkatkan kadar kitar semula yang juga akan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sedia ada semakin kehabisan ruang. Pengasingan sisa isi rumah akan membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, justeru, membantu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan tersebut. Aktiviti amalan 3R dan pengasingan sisa di punca juga telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.
Melalui penerapan dan pembudayaan amalan 3R dan pengasingan sisa pepejal isi rumah ini adalah diharapkan masyarakat akan menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber baru yang dapat digunakan sebagai alternatif kepada sumber bahan mentah asli dalam pembuatan sesuatu produk. Ini secara tidak langsung akan dapat memastikan sumber – sumber alam semulajadi diuruskan secara bijak dan lestari demi kebaikan generasi masa hadapan serta alam sekitar.
Seperkara lagi kerjasama, sokongan dan penglibatan masyarakat secara aktif dalam pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di rumah ini adalah salah satu faktor utama kejayaan program ini.
Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah status negara maju menjelang 2020, Malaysia harus meningkatkan aktiviti amalan 3R, pengasingan sisa pepejal isi rumah dan kadar kitar semula yang membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Skip to content