Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
Selamat Datang ke Laman Web Rasmi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN). JPSPN telah ditubuhkan pada tahun 2007 selaras dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang telah diwartakan pada 30 Ogos 2007.
Penubuhan JPSPN adalah bertujuan bagi mengintegrasikan pengurusan sisa pepejal di peringkat nasional serta memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lestari, bersepadu, cekap, berkesan dan kos efektif. JPSPN bertanggungjawab untuk menggubal dasar, rancangan dan strategi berkenaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta melaksanakan Akta 672.
Seiring dengan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, pertambahan penduduk juga telah meningkatkan jumlah sisa pepejal yang dihasilkan oleh isi rumah, industri dan sektor perdagangan. Justeru itu, Jabatan sentiasa berusaha memastikan sisa pepejal ini diurus dengan cekap dan berkesan. Pelbagai dasar dan program telah digubal dan dilaksanakan seiring dengan visi dan misi jabatan ke arah mewujudkan pengurusan sisa pepejal yang berkesan. Antaranya pelaksanaan Pengasingan Sisa di Punca yang telah menyumbang ke arah peningkatan kadar kitar semula, pewartaan peraturan-peraturan berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta penambahbaikan dalam prosedur permohonan Lesen Import (AP) Sisa Plastik di bawah HS Kod 39.15. Bagi perancangan jangka masa panjang pula, Jabatan mensasarkan pembinaan satu loji Waste to Energy (WtE) bagi satu negeri sebagaimana saranan YB Menteri KPKT, Puan Hajah Zuraidah binti Kamaruddin.
Dengan perancangan dan pelaksanaan dasar, projek dan program yang telah diatur, Jabatan berharap akan dapat mencapai matlamat Kerajaan untuk mewujudkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang menyeluruh, bersepadu, kos effektif dan mampan.
Sekian, terima kasih.
Ketua Pengarah
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara